Thursday, July 22, 2010

Kajian Kaedah Buang Sisa Ceriakan Alam Sekitar

Berita berkaitan pencemaran alam sekitar semakin kerap kita dengar. Majoriti kecewa mendengar cerita kerosakan alam sekitar seperti pembalakan tanpa kawalan, jerebu akibat pembakaran terbuka atau sungai kotor dan tercemar. Kini timbul pula isu air berbau busuk.

Setiap kali mendengar berita negatif mengenai alam sekitar membuatkan kita terfikir apakah masyarakat kita terlalu cuai dan mengambil mudah mengenai alam sekitar. Kita juga terfikir berapa ramai rakyat negara ini secara serius mengambil berat isu penjagaan alam sekitar.

Apabila sesuatu isu pencemaran atau kerosakan didedahkan, mereka yang secara langsung menerima kesan pencemaran, sudah pasti marah. Kemarahan biasanya disasarkan kepada kerajaan kerana dilihat gagal mengawal atau menguat kuasa peraturan sedia ada.

Justeru, kita menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal dan Pencemaran Alam Sekitar Jumaat lalu mengarahkan penutupan serta merta 16 pusat pelupusan sampah terbuka di tujuh negeri kerana didapati tidak selamat serta boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai dan alam sekitar.

Keputusan tegas seperti ini penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan bersedia dan sanggup membuat apa yang perlu untuk menjaga alam sekitar. Kita harap pihak berkuasa akan berjaya mencari penyelesaian terbaik dalam semua isu berkaitan pencemaran dan kerosakan alam sekitar.

Alam sekitar akan terus tercemar dan menuju kemusnahan jika manusia tidak mengambil langkah menjaganya dengan baik dan terancang. Masyarakat kita tidak boleh hanya bertanya apakah tindakan kerajaan menjaga alam sekitar. Sudah tiba masa kita bertanya diri sendiri apakah sumbangan kita menjaga alam sekitar.

Ada banyak aspek penjagaan alam sekitar perlu diambil kira supaya ia dapat bertahan pada tahap terbaik. Dalam mengejar kemajuan, kita perlu menjaga perseimbangan dalam penggunaan setiap sumber. Bukit bukau, tanah, sungai, laut, udara, semuanya perlu dimanfaatkan tanpa menjejaskan kedudukan mereka.

Secara individu, setiap ahli masyarakat boleh menyumbang kepada ketahanan alam sekitar dengan lebih berdisiplin dalam perkara asas menjaga kebersihan iaitu pembuangan sampah dan sisa. Ramai memandang ringan isu pembuangan sampah dan sisa menyebabkan ia menjadi punca utama pencemaran dan kerosakan alam sekitar.

Tingkah laku sebahagian besar masyarakat dalam isu pembuangan sampah dan sisa membenarkan keluhan Perdana Menteri bahawa kita mampu menyediakan prasarana kelas pertama tetapi mempunyai minda kelas ketiga dalam urusan penyelenggaraan.

Anehnya, minda kelas ketiga ini tidak semestinya berada pada ahli masyarakat berpendidikan atau berpendapatan rendah. Ada di kalangan kelas menengah dan atas tidak berdisiplin dalam urusan kebersihan. Perhatikan saja bagaimana mereka yang mampu memandu kereta mewah mencampak keluar sampah atau puntung rokok ketika memandu.

Ada juga orang sanggup membuang benda besar seperti perabot lama ke dalam sungai. Ini semua mereka lakukan tanpa rasa bersalah.

Mengurus sisa dan sampah adalah perkara besar dan perlu diberi perhatian bukan saja oleh individu, tetapi peniaga. Sehubungan itu, setiap organisasi perniagaan perlu mempunyai kesedaran mengenai tanggungjawab sosial mereka berkaitan alam sekitar.

Walau apa saja jenis perniagaan, tentu ada sisa dan sampah yang perlu dilupuskan. Perniagaan sektor perkilangan umpamanya mungkin mempunyai sisa memudaratkan kehidupan dalam bentuk gas, cecair atau pepejal.

Perniagaan bidang peruncitan juga mempunyai sisa dan sampah mereka sendiri. Kedai makanan umpamanya mempunyai banyak sisa organik yang boleh menjadi busuk dan menyebarkan kuman dan bakteria jika tidak dilupuskan dengan betul. Bengkel kereta pula mempunyai sisa membabitkan minyak dan perlu dibuang secara betul.

Bagi perniagaan yang menghasilkan sisa berbahaya kepada orang ramai, biasanya sudah ada undang-undang dan peraturan mengenai cara pelupusannya. Pelupusan secara teratur sudah tentu membabitkan kos. Malangnya, ada peniaga sanggup membahayakan orang ramai semata-mata kerana hendak menjimatkan kos operasi.

Sejak beberapa tahun ini kempen menyedarkan sektor perniagaan mengenai tanggungjawab sosial mereka sudah semakin meluas. Semakin banyak perniagaan, terutamanya syarikat besar dan syarikat antarabangsa, sudah sanggup memperuntukkan perbelanjaan untuk membantu menyelamatkan alam sekitar.

Penjagaan alam sekitar boleh dibantu oleh perniagaan bukan saja melalui pelupusan sisa dan sampah secara betul, tetapi dengan meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan untuk memperbaiki proses pengeluaran atau kaedah operasi.

Dalam kita bersusah hati mengapa isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar masih berterusan walaupun semua orang tahu keburukannya, kita gembira melihat bilangan perniagaan berusaha memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar juga semakin bertambah.

Kita gembira mengetahui bahawa pada Jumaat lalu, sebuah badan perakaunan terbesar dunia, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), sekali lagi mengumumkan pemenang Anugerah MESRA (Malaysia Environmental and Social Reporting Awards) yang mereka anjurkan sejak empat tahun lalu.

Kita mengalu-alukan usaha ACCA dengan sokongan Jabatan Alam Sekitar dan Institut Integriti Malaysia memberi galakan kepada organisasi perniagaan di Malaysia meningkatkan usaha melakukan sesuatu untuk kebaikan alam sekitar.

Anugerah MESRA ini bertujuan mengiktiraf organisasi perniagaan yang melapor serta memaklumkan prestasi mereka berkaitan tanggungjawab sosial dan penjagaan alam sekitar. Apa yang menarik ialah bilangan syarikat menyertai Anugerah MESRA 2005 ialah 54 berbanding 36 bagi 2004.

Penambahan penyertaan dalam Anugerah MESRA setiap tahun membuktikan bahawa bilangan perniagaan yang berusaha melakukan sesuatu untuk kebaikan alam sekitar semakin meningkat. Ia memberi harapan bahawa usahawan dan perniagaan semakin sedar mengenai peranan mereka dalam penjagaan alam sekitar.

Organisasi perniagaan tidak harus menunggu arahan pihak berkuasa untuk memainkan peranan mereka dalam isu penjagaan alam sekitar. Mereka perlu sanggup berkorban dan tidak hanya mementingkan keuntungan kerana alam sekitar penting untuk kesejahteraan manusia.

0 comments:

Post a Comment